Wednesday, December 22, 2010

Menuntut Ilmu [ Imam Syafie ]

Sebuah KISAH KEGIGIHAN MENUNTUT ILMU IMAM SHAFEI. Imam Shafei merupakan pengasas Mazhab Syafei. Mazhab Syafei tersebar luas, menjadi pegangan dan ikutan penduduk di Malaysia dan hampir keseluruh Nusantara. Imam Syafei mula belajar al-Quran ketika berusia 5 tahun. Beliau sudah menghafaz keseluruhan al-Quran yang mengandungi 6236 ayat dengan fasih dan lancar ketika berusia 9 tahun. Dalam usia 10 tahun beliau telah menghafaz kitab al-Muwatto’ karangan Imam Malik yang mengandungi 5,000 hadis. Dalam usia 15 tahun, beliau sudah mampu menjadi Mufti Mekah memberi fatwa di Masjidil Haram.

Cuba kita fikir dan renungkan. Ketika usia 9 tahun, kini kanak-kanak berada dalam darjah 3. Imam Syafei, sudah menghafaz al-Quran. Ketika usia 15 tahun, anak-anak pelajar berada dalam tingkatan 3. Sedangkan Imam Syafei sudah menjadi seorang Mufti yang mampu memberi fatwa. Cuba kita bertanya kepada diri kita. Bagaimanakah usia kanak-kanak yang penuh kemanjaan, beliau habiskan. Bagaimanakah detik-detik masa yang dilalui oleh beliau dalam menempuh usia remaja yang begitu mencabar dan penuh kenakalan, beliau manfaatkan? 


Marilah kita sama-sama melihat dan mengambil pengiktibaran bersama berkaitan amalan dan budaya belajar yang diamalkan oleh Imam Syafei. Apabila Imam Syafei diajukan suatu soalan : Bagaimanakah  engkau menuntut ilmu?. Beliau menjawab : “Bagaikan seorang perempuan yang kehilangan anak tunggalnya”. Cuba kita fikirkan. Sudah pasti perempuan yang kehilangan anak tunggalnya itu , cuba mencari , terus mencari sehingga dapat. Begitulah dalam menuntut ilmu.  Walaupun beliau banyak berguru dengan ramai  ulamak Mekah, beliau tidak pernah puas dengan ilmu yang dimiliki, bahkan di mana sahaja ada tokoh ulamak, di sanalah tempat beliau merantau untuk menimba ilmu. Imam Syafei pernah merantau ke Madinah, Baghdad, Kufah, Iraq, Mesir, Iran, Turki dan Palastine semata-mata untuk menimba ilmu. Sedangkan kenderaan yang digunakan ketika itu adalah unta, walaupun terpaksa mengharungi kepanasan padang pasir.

Beliau seorang murid yang sangat rajin walaupun hidupnya miskin. Kerana kemiskinannya, beliau terpaksa mengutip kertas di pejabat-pejabat yang dibuang di bakul sampah untuk mencatat pelajaran. Beliau tidak merasa hina berbuat demikian, malah itu menjadi cabaran kepadanya.
Beliau pernah berkata :
العلم إلا من طلبه فى القلة  ما أفلح فى
"Tidak akan mendapat kejayaan dalam menuntut ilmu, melainkan orang yang menuntut dalam kekurangan”

Marilah kita berlumba-lumba menuntut ilmu dengan penuh adabnya dan cuba  mencontohi kegigihan Imam Syafei dalam menuntut ilmu. Kerana Imam Syafei pernah berkata Ilmu yang diperolehi di masa kecil seperti melukis di batu”. Ertinya ilmu yang kita perolehi di waktu kecil agak sukar untuk hilang dan mudah lupa. Akhir kata, marilah kita merenung kata-kata Imam Syafei :  

من لم يذق ذل التعلم ساعة   *  تجرع ذل الجهل طول حياته
“Sesiapa Belum Merasakan Susahnya Belajar Walau Sesaat
Ia Akan Merasakan Pahitnya Kebodohan Seumur Hidupnya”

Wallahu'alam~




No comments:

Post a Comment